JellyPages.com

Monday, March 15, 2010

MENJAGA HATI....

Assalamualaikum..

Agak lama jg Wardah mendiamkan diri. Bukan niat untuk melupakan tetapi ingin mencari ketenangan hati disamping mentafsir rona kehidupan duniawi.. Dalam masa sebulan ni, banyak peristiwa yang berlaku. Dari satu kisah ke satu kisah timbul. Sampaikan hati dah lelah untuk menghela nafas. Tah dimana silapnya diri ni tetap tidak dapat memuaskan hati semua pihak.. Kadang-kadang terasa dunia ni terlalu sukar untuk dijejaki. Apatah lagi insan sekerdil ini, takkan mampu membawa diri dalam gelumang kerakusan hidup manusia. Sukarnya nak menjaga hati seorang insan bernama sahabat..

Hari ni, Wardah nukilkan coretan ni untuk kita sama-sama mengambil ikhtibar dari pengalaman yang ada. Bukan untuk mengaibkan sesiapa, sekadar mengingati yang alpa. Kalau ada yang terasa, kemaafan Wardah pohonkan. Dalam kesibukan mencari ilmu, masih ada juga yang sewenang-wenangnya mencari kesilapan orang lain. Bukan tak boleh menjaga tepi kain orang, tapi masakan sindiran dan tohmahan yang dilemparkan hanya kerana kekurangan diri seseorang. Sampaikan kesilapan kecil dianggap berdosa besar. Apatah lagi kalau ianya keluar dari mulut sahabat kita sendiri. Menegur kesalahan orang lain tidak salah, bahkan dituntut dalam Islam.. Amar makruf nahi mungkar.. tapi nak menegur biarlah kena caranya. Jangan main sembur je. Pakai sedap mulut je cakap sampaikan boleh mendatangkan aib pada orang lain. Harap-harap kita berfikirlah dahulu sebelum berkata. Terlajuk perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Berjaga-jagalah dengan setiap perkataan yang keluar dari mulut kita. Rasulullah SAW pun dah berpesan, orang yang banyak cakap itu banyak dosanya..Kalau takut melakukan dosa, lebih baik diam.

Dalam kita bersahabat, kita kenalah menjaga hati mereka. Janganlah mereka je jaga hati kita, tapi kita tak peduli pun hati mereka. Bukan diminta ditaburi dengan harta benda, cukup dengan layanan yang baik sudah mampu mengukuhkan tali persahabatan yang terjalin. Apatah lagi kalau dah duduk satu rumah. Walaupun bukan darah daging sendiri, tapi alangkah baik jika kita menganggap mereka seperti keluarga sendiri. Sudahlah ibu bapa jauh dimata, kalau bukan mereka yang kita ada siapa lagi yang nek menjaga kita. Bukankah Islam menyuruh kita menyayangi saudaranya.. Ini masih ada kes housemate bergaduh bermasam muka sampai 2,3 bulan tak bertegur. Patut ke terjadi?? Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula dengan orang lain. Seeloknya bersemukalah meleraikan kekusutan yang ada. Luahkan segala yang terbuku di hati. Kalau dipendam lama-lama macam tu lah jadinya. Dari sahabat menjadi musuh ketat. Bukan mudah nak menjaga hati seorang insan tapi cubalah sebaiknya. Apa yang Wardah lihat zaman sekarang ni susah sangat nak ucapkan perkataan maaf. Walaupun memang dia tahu salah dia, tapi langsung tak terkeluar perkataan tu. Nampaknya ego manusia ni dah makin meninggi. Ada pula yang sanggup lemparkan kata-kata kesat pada orang yang lebih tua. Dimanakah hilangnya rasa hormat manusia? Jangan nanti ada yang terkategori bersama Iblis Laknatullah yang tidak mahu tunduk pada Nabi Adam. Kerana ego yang tinggi. Nauzubillah..Fikir-fikirkanlah... Kita kadang-kadang tak ambil peduli pun hal-hal seperti ni. Bak kata orang.."small matter la beb".. tapi tahukah kita, kalau seseorang terasa dengan sikap kita dan dia simpan dalam hati kemarahan itu jangan terkejut kalau dosa kita lebih berat dari pahala. Mungkin wardah silap dalam mentafsir, tetapi kalau kita leka menjaga hubungan dengan Allah, lebih teruklah hubungan kita dengan manusia. Wardah pun mengingatkan diri disamping memberi nasihat pada orang lain. Janagnlah mengambil mudah sesuatu perkara yang melibatkan perasaan manusia. Kita tidak tahu apa yang mereka doakan untuk kita. Manalah tahu kita sakitkan hati sahabat kita sampaikan dia marah dan mendoakan musibah pada kita, tak mustahil ianya termakbul. Janganlah jadi talam dua muka yang suka melaga-lagakan orang. Apatah lagi kalau ianya boleh memutuskan ikatan silaturrahim sesama manusia. Bahayanya menyimpan gunting dalam lipatan. Janganlah hanya tahu mencari kesalahan orang lain sedangkan kekhilafan diri dilupakan. Wardah pun bukanlah baik sangat nak menegur orang lain. Tapi tidak salahkan kalau Wardah nak berpesan-pesan pada kebaikan disamping memperbaiki kelemahan yang ada.

Diharapkan pada insan-insan diluar sana, berhati-hatilah dalam melakukan sesuatu. Jangan kita abaikan sesuatu pun dimuka bumi ni selagi ianya makhluk ciptaan Allah. Peliharalah sebaiknya...