JellyPages.com

Monday, July 19, 2010

PROSES KEJADIAN MANUSIA MENURUT AL-QURAN

PERINGKAT SATU

NUTFAH : iaitu peringkat pertama bermula selepas persenyawaan atau minggu pertama. Ianya bermula setelah berlakunya percampuran air mani

Maksud firman Allah dala surah al-Insan : 2

" Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat "

Menurut Ibn Jurair al-Tabari, asal perkataan nutfah ialah nutf ertinya air yang sedikit yang terdapat di dalam sesuatu bekas samada telaga, tabung dan sebagainya. Sementara perkataan amsyaj berasal daripada perkataan masyj yang bererti percampuran

Berasaskan kepada makna perkataan tersebut maksud ayat di atas ialah sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan manusia daripada air mani lelaki dan air mani perempuan.

Daripada nutfah inilah Allah menciptakan anggota-anggota yang berlainan , tingkahlaku yang berbeza serta menjadikan lelaki dan perempuan. Daripada nutfah lelaki akan terbentunya saraf, tulang dan fakulti , manakala dari nutfah perempuan akan terbentuknya darah dan daging.


PERINGKAT KEDUA

ALAQAH : Peringkat pembentukan alaqah ialah pada hujung minggu pertama / hari ketujuh . Pada hari yang ketujuh telor yang sudah disenyawakan itu akan tertanam di dinding rahim (qarar makin). Selepas itu Kami mengubah nutfah menjadi alaqah.

Firman Allah yang bermaksud

" Kemudian Kami mengubah nutfah menjadi alaqah"

al-Mukminun : 14

Kebanyakan ahli tafsir menafsirkan alaqah dengan makna segumpal darah. Ini mungkin dibuat berasaskan pandangan mata kasar. Alaqah sebenarnya suatu benda yang amat seni yang diliputi oleh darah. Selain itu alaqah mempunyai beberapa maksud :

  • sesuatu yang bergantung atau melekat
  • pacat atau lintah
  • suatu buku atau ketulan darah

Peringkat alaqah adalah peringkat pada minggu pertama hingga minggu ketiga did alam rahim.


PERINGKAT KETIGA

MUDGHAH : Pembentukan mudghah dikatakan berlaku pada minggu keempat. Perkataan mudghah disebut sebanyak dua kali di dalam al-Quran iaitu surah al-Hajj ayat 5 dan surah al-Mukminun ayat 14

Firman Allah yang bermaksud

"lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging"

al-Mukminun : 14

Diperingkat ini sudah berlaku pembentukan otak, saraf tunjang, telinga dan anggota-anggota yang lain. Selain itu sistem pernafasan bayi sudah terbentuk.Vilus yang tertanam di dalam otot-otot ibu kini mempunyai saluran darahnya sendiri. Jantung bayi pula mula berdengup. Untuk perkembangan seterusnya, darah mula mengalir dengan lebih banyak lagi kesitu bagi membekalkan oksigen dan pemakanan yang secukupnya. Menjelang tujuh minggu sistem pernafasan bayi mula berfungsi sendiri.


PERINGKAT KEEMPAT

IZAM DAN LAHM : Pada peringkat ini iaitu minggu kelima, keenam dan ketujuh ialah peringkat pembentukan tulang yang mendahului pembentukan oto-otot. Apabila tulang belulang telah dibentuk, otot-otot akan membungkus rangka tersebut.

Firman Allah yang bermaksud :

"Lalu Kami mengubahkan pula mudghah itu menjadi izam da kemudiannya Kami membalutkan Izam dengan daging"

al-Mukminun : 14

Kemudian pada minggu ketujuh terbentuk pula satu sistem yang kompleks. Pada tahap ini perut dan usus , seluruh saraf, otak dan tulang belakang mula terbentuk. Serentak dengan itu sistem pernafasan dan saluran pernafasan dari mulut ke hidung dan juga ke pau-paru mula kelihatan. Begitu juga dengan organ pembiakan, kalenjar, hati, buah penggang, pundi air kencing dan lain-lain terbentuk dengan lebih sempurna lagi. Kaki dan tangan juga mula tumbuh. Begitu juga mata, telinga dan mulut semakin sempurna. Pada minggu kelapan semuanya telah sempurna dan lengkap.


PERINGKAT KELIMA

NASY'AH KHALQAN AKHAR : Pada peringkat ini iaitu menjelang minggu kelapan , beberapa perubahan lagi berlaku. Perubahan pada tahap ini bukan lagi embrio tetapi sudah masuk ke peringkat janin.Pada bulan ketiga, semua tulang janin telah terbentuk dengan sempurnanya Kuku-kukunya pun mula tumbuh. Pada bulan keempat, pembentukan uri menjadi cukup lengkap menyebabkan baki pranatel bayi dalam kandungan hanya untuk menyempurnakan semua anggota yang sudah wujud. Walaupun perubahan tetap berlaku tetapi perubahannya hanya pada ukuran bayi sahaja.


PERINGKAT KE ENAM

NAFKHUR-RUH : Iaitu peringkat peniupan roh. Para ulamak Islam menyatakan bilakah roh ditiupkan ke dalam jasad yang sedang berkembang? Mereka hanya sepakat mengatakan peniupan roh ini berlaku selepas empat puluh hari dan selepas terbentuknya organ-organ tubuh termasuklah organ seks. Nilai kehidupan mereka telah pun bermula sejak di alam rahim lagi. Ketika di alam rahim perkembangan mereka bukanlah proses perkembangan fizikal semata-mata tetapi telahpun mempunyai hubungan dengan Allah s.w.t melalui ikatan kesaksian sebagaimana yang disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran surah al-A'raf : 172. Dengan ini entiti roh dan jasad saling bantu membantu untuk meningkatkan martabat dan kejadian insan disisi Allah s.w.t

Friday, July 9, 2010

MY LIFE IS GO ON..


Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat-Nya yang Maha Agung. Dengan rahmat dan keberkatannya umurku dipanjangkan hingga ke saat ini. Genaplah kini umurku yang ke 20. Kata orang usia sebegini dah dewasa, sematang fikiran kurniaan Ilahi. Terima kasih Rabb kerana masih memberiku peluang untuk bernafas di alam-Mu yang fana ini. Tidak terkira rasanya kasih sayang yang Engkau curahkan pada hamba-Mu yang lemah ini. Walaupun aku selalu melupakan-Nya namun Engkau tidak pernah melupakan hamba-Mu. Syukran ya Allah...

Mak..

Terima kasih yang tidak terhingga ku ucapkan kerana melahirkan anakmu ini. Sesungguhnya jasamu itu terlalu besar untuk ku balas. Walau seluas lautan dikumpulkan takkan mampu untuk menandingi kesabaranmu dalam mendidik aku menjadi insan yang berguna. Jerit perih dalam membesarkan aku tidak sedikit pun menggoyahkan semangatmu sebagai seorang ibu. Walaupun aku seringkali menyakiti hatimu namun dirimu tetap menyayangiku. Betapa bertuahnya aku mempunyai seorang ibu sepertimu. Sanggup bersusah payah meredah onak dan duri demi membesarkan zuriatmu.

Teman,

Terima kasih kerana sudi mengenaliku, mengajar aku erti kehidupan yang sebenar. Terlalu rapuh rasanya buih bicara terima kasih jika nak dibandingkan dengan kesabaran kalian dalam melayani karenah aku yang macam kanak-kanak ni. Masa pantas berlalu meninggalakan memori yang cukup indah untuk kita semua kenangkan. Bagi aku, tiada apa yang lebih berharga dari persahabatan yang terbina erat di lubuk hati masing-masing. Walaupun acap kali kita berselisih pendapat yang kadangkala menimbulkan kemarahan tapi semua itu hanya sekadar asam garam kehidupan yang mengajar kita erti sebuah ikatan ukhwah yang sejati. Biarpun aku selalu buat mimic muka dan perbuatan yang rasanya menguji kesabaran kalian, tapi kita tetap bersama. Sepanjang aku mengembara dalam mengejar ilmu, ramai kenalan yang ditemui. Tapi manakan sama dengan kalian yang senantiasa menjadi penawar hati. Setiap saat yang berlalu membuatkan aku rindu untuk berkumpul kembali ibarat sebuah keluarga bahagia. Mungkin aku terlalu egois dalam setiap perkara, tapi aku cukup menyayangi kalian. Di mana sahaja kalian berada, ingatilah aku sebagai seorang teman. Mungkin tak terbalas kesabaran yang di taburkan, hanya doa yang dipanjatkan agar setiap pengorbanan itu di beri ganjaran yang tinggi oleh Allah.. Aku hanya insan biasa yang seringkali melakukan kesilapan. Antara sedar atau tidak itulah realitinya. Bukan senang nak mencari sahibus samahah yang diimpikan, tapi aku cukup gembira dengan apa yang ada. Telatah yang sering mencuit hati, kadangkala memberi aku inspirasi dalam meneruskan perjuangan ini. Harapanku, moga kalian berjaya dengan rahmat dari-Nya. Aku tetap sematkan kalian jauh di ufuk sanubari, biarpun roh bercerai dari jasad takkan ada yang boleh menggantikannya. Dikaulah sahabatku dunia dan akhirat…

Ya Rabb,

Umur ini hanya pinjaman dariMu yang entahkan esok Kau ambilnya kembali. Aku hanya hambaMu yang lemah, mengharapkan secangkir kasihMu yang Maha Agung. Aku memohon keampunan di atas segala kekhilafanku dalam mengembara di dasar dunia yang fana. Lumrah seorang insan yang sering alpa pada tugasnya, kadangkala hilang arah dalam mencari nur kasih yang hakiki. Indahnya dunia ini mengaburi pancainderaku hinggakan aku terpana dalam mencari keredhaanMu. Mudahnya hati ini dicemari noda-noda yang menjerat aku dalam kancah yang hina. Entah dimana silapnya aku terlangkah di sana. Menjebakkan diri dalam kekalutan halusinasi yang tiada ertinya. Mujur Kau merenjiskan kesedaran padaku, meninggalkan lorong duka mencari nur iman yang suci. Subhanallah… besarnya iradat dan kasihMu pada setiap hamba. Walaupun imanku terlalu rapuh, namun masih diberi peluang mencari titisan rahmatMu yang tidak ternilai. Alhamdulillah… syukur padaMu, ya Allah atas segala kurniaan ini. Doaku agar diberi kesempatan untuk aku meneruskan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifah dibumi Allah ini.

Friday, July 2, 2010

Ayuh Kembali ke Kuliah..


Assalamualaikum warahmatullah...


Hari ni dah 6 Julai. Cuti semester dah berakhir. Argh!!! Belum puas lagi nak cuti dah kena sambung balik belajar. Macam-macam keluhan yang keluar dari mulut rakan-rakan yang lain. Masing-masing pun masih belum bersedia untuk datang semula ke kampus memandangkan mereka tinggal jauh. Apatah lagi terpaksa berjauhan dengan keluarga. Manakan hilang rindu di hati. Baru nak bermanja dengan keluarga dah kena ke kampus semula. Biasalah tu, adat kehidupan di universiti. Macam murid-murid sekolah rendah pula, asal nak sekolah je masing-masing sakit. Ada sakit perut lah, sakit kaki, sakit hati pun ada. Alahai.. rindu pula zaman sekolah dulu.


Memandangkan semester kuliah dah bermula, jadi kenalah buat persiapan rapi. Mula lah keluar membeli barang keperluan. Tak ketinggalan yang hendak pulang ke kolej, pastinya membeli banyak barang terutama makanan. Yelah, tak lama lagi kan nak masuk bulan Ramadhan. Alhamdulillah.. jimat sikit duit belanja sem ni. Tapi sesetengah orang berhabis duit pula sebab banyak sangat beli makanan berbuka puasa. Hem.. macam-macam ragam. Kembali semula pada tajuk, setakat ni ramai juga kenalan sekolah dulu yang dapat masuk U yang sama. Syukur.. akhirnya dapat juga mereka menjejakkan kaki di menara gading. Tahniah buat mereka yang berjaya dan yang tak berjaya di harap jangan berputus asa. Masih ada harapan untuk berusaha lagi. Musim kuliah kali ni agak mencabar juga. apatah lagi subjek kali ni agak berat dan susah nak skor. Tapi kalau kita usaha, Insyaallah boleh berjaya. Harap kali ni jangan lah jatuh lagi result. Azam kali ni nak mempertingkatkan lagi usaha dan mengurangkan kemalasan yang ada ni. Lumrah hidup manusia takkan lari dari sifat malas. Tapi ada cara untuk kita mengatasinya. Banyakkan berdoa dan berzikir.. Insyaallah, kita takkan leka mengejar sesuatu yang tak berfaedah.


Sepanjang cuti semester ni, banyak perkara yang memberi pengalaman untuk saya meneruskan tanggungjawab sebagai insani. Dari sikap sahabat-sahabat yang pelbagai ragam, dapat saya simpulkan menjadi satu azimat untuk saya menjalani hari-hari yang mendatang. Maklumlah, saya ni berperwatakan agak kebudak-budakkan. Jadi, banyak yang kena belajar lagi. Walaupun usia dah mencecah 20 tahun tapi masih banyak yang perlu diperbaiki untuk menjadi wanita yang berjaya dunia dan akhirat. Insyaalah.. Apa yang menariknya cuti ni saya banyak mendengar usrah yang berkumandang di radio dan di televisyen. Alhamdulillah, ada juga kesempatan untuk mengikuti informasi yang disampaikan. Kalau waktu kuliah agak sukar untuk mendapat peluang seperti itu. Sibuk dengan assignment yang bertimbun sampaikan tiada masa untuk mendengar ceramah agama. Waktu cuti jelah yang berkesempatan untuk berbuat demikian. Bila difikirkan sebenarnya kita ni terlalu leka nak kejar ilmu tanpa kita sedari yang fardhu kita tinggalakan. Dari pemerhatian saya, ramai juga yang masih merangkak bila disuruh membaca Al- Quran. Bukan umur 5 atau 6 tahun tapi umur dah 20-an. Bila ditanya, mereka menjawab sudah lama meninggalkan Al-Quran. Astaghfirullah... Macammana orang terpelajar boleh menjawab sedemikian rupa. Sedangkan kita dituntut untuk mengamalkan ajaran Al-Quran. Itulah silapnya kita sebagai pelajar. Terlalu takut gagal sampaikan kita lupa yang sepatutnya. Waktu cuti nilah kita nak perbetulkan balik akal kita. Perbetulkan semula niat kita datang ke kampus. Untuk apa sebenarnya kita cari ilmu?? Bukan sekadar nak dapat pekerjaan bagus, tapi kita nak cari keredhaan Allah.. sebab tu saya agak terkilan dengan seorang sahabat yang merendahkan diri sebab tak dapat masuk ke alam universiti. Bagi saya, biarpun kita hanya seorang guru, jangan kita pandang hina tugas tersebut sebab yang penting bukan gaji yang lumayan berjuta-juta ringgit. Tapi keberkatan pekerjaan tersebut yang kita cari. Mentaliti masyarakat sekarang yang sukar untuk dibuang.

Bila kita kembali ke kampus, memulakan kuliah yang pertama kita, apa yang kita fikirkan? Semangat nak menimba ilmu itu perlu diwujudkan. Kalau setakat datang kuliah, tapi fikiran melayang entah kemana, balik kuliah tido...memang membuang masa dan tenaga je. Thalabul i'lmi faridhatul a'la kullimuslim.. Jadi, kita kenalah menuntut ilmu Allah itu dengan penuh kesungguhan agar mendapat rahmat dan keberkatannya. Tapi kena beringat, ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah. Itulah yang sebaiknya jika kita berilmu maka gunakanlah ia ke arah kebaikan. Apatah lagi ilmu itu kurniaan dari Allah SWT.. Orang kata waktu muda ni jangan kita sia-siakan. Gunakan usia yang ada dengan mencari bekalan untuk hari yang akan datang. Maksudnya, kita kenalah mensiap-siagakan diri dengan ilmu penuh di dada supaya jadi kayu pengukur untuk kita menghadapi hari esok yang penuh dengan cabaran. Insyaallah, kalau kita ikhlas dalam menuntut ilmu Allah akan lipat gandakan rahmat-Nya pada kita. Jangan pula bila dah penuh ilmu di dada kita jadi bongkak. Berkongsilah dengan orang yang kurang baik. Tak rugi kalau kita mengajar orang lain malah lebih senang kita nak ingat apa yang kita belajar sebab bila kita berkongsi ilmu, kita mudah untuk faham dan banyak idea boleh dikongsi bersama. Salah satu cara belajar yang effective dan berkesan.


Semoga semester kali ni lebih bermakna dari sebelumnya. Walaupun banyak subjek yang perlu dititik beratkan tapi insyaallah dengan usaha dan tawakal kejayaan itu akan digenggam juga. Forensik sains pun dah mula, kenalah cari tikus dan ulat untuk buat ujikaji. Tapi kalau dapat peluang untuk pergi crime scene mesti lagi bersemangat. Ya Allah, berkatilah ilmu yang Kau berikan pada kami dan lapangkan dada kami untuk menerimanya, rahmatilah Kami dalam keredhaan- Mu..

Thursday, June 24, 2010

Aku Mahasiswa???

Assalamualaikum..

Sedar tak sedar dah lama juga tak menjengah blog ni. Sibuk dengan aktiviti harian.. Cuti la katakan. Menghabiskan masa dengan teman-teman yang tersayang. Lama juga berada di kampung. Dekat sebulan menikmati suasana di sawah padi. Dan yang paling seronok dapat rehatkan minda di pantai yang penuh dengan kenangan. Sebelum terlambat, saya nak ucapakan tahniah buat rakan-rakan yang berjaya menjejakkan kaki di universiti awal bulan depan. Meriah je tengok reaksi mereka apatah lagi gelagat ibu bapa yang sibuk buat persediaan untuk menghadapi musim pendaftaran nanti. Ada yang siap bershopping sakan. Tak kurang juga yang berhabis masa dan wang demi untuk anak-anak tercinta.

Persoalannya... adakah kita sudah betul-betul bersedia untuk menempuh alam universiti ini? Dengar nama je sudah tentu ramai yang terbayangkan suasana di kampus dengan dewan kuliah yang dipenuhi ratusan pelajar. Hiruk pikuk suara para pelajar memenuhi ruang dewan berkenaan. Dalam kita menuntut ilmu di sana pastinya ada rintangan yang perlu dilalui. Apatah lagi dengan usia kita yang makin menginjak dewasa. Rata-rata yang melalui alam ini akan mengalami perubahan yang dranstik dari aspek fizikal dan emosi. Kebanyakkan kita sukar untuk mengawal emosi apatah lagi bila ianya melibatkan perasaan. Ramai yang terkandas di pertengahan jalan gara-gara gagal dalam menangani proses penjanaan tersebut. Nilai akhlak remaja kian terhakis bila kita salah dalam membuat pilihan hidup. Sahabat merupakan tunjang utama yang amat penting dalam memainkan peranan dalam mendidik jiwa yang suci. Kadangkala kita terlalu taksub dengan kehidupan sebagai mahasiswa sehingga terabai segala tanggungjawab kita pada Allah SWT.

Lihatlah disekeliling kita pada hari ini. Rata-ratanya yang melakukan maksiat dan perbuatan sumbang adalah golongan siswa siswi harapan bangsa. Lebih menakutkan sesetengahnya adalah orang Islam. Baru-baru ini kita digemparkan lagi dengan kes pembuangan bayi, dadah dan arak di kalangan pelajar. Apakah zaman jahiliah sudah bertakhta kembali di zaman ini? Tidak takutkah kita dengan azab Allah di akhirat kelak. Sedar atau tidak pelajar sudah semakin hilang kewarasan diri. Bagi mereka, hidup seorang pelajar itu hanya mencari keseronokkan selagi masih ada masa. Walhal tika itulah hidup mereka tidak ubah seperti mencari air di tandus sahara. Waktu inilah kita perlu mensiap siagakan diri dengan segala bekalan untuk dibawa pada hari kelak. Ilmu Allah itu tersangat luas sampaikan jika dikumpulkan semuanya takkan mampu diteleggelami lautan dunia. Subhanallah...Tapi sayangnya kita selalu leka dengan keseronokkan dunia hinggakan kita lupa pada ilmu akidah yang dipelajari. Waktu kita dibangku sekolah cikgu-cikgu akan sentiasa menjaga gerak geri kita agar tidak tersilap langkah. itupun masih ada yang merungut jika dikenakan tindakan disiplin. Sedangkan tatatertib itu dilaksanakan adalah untuk mendidik peribadi pelajar. Sepatutnya mereka bersyukur kerana masih ada insan yang mengambil berat perihal mereka sedangkan di kampus kita lah yang akan menentukan nasib kita sendiri. Tak ada siapa yang akan menegur kesilapan kita lagi apatah lagi merotan kita. Oleh kerana itu barangkali kita lupa siapa sebenarnya kita dan apa tujuan kita menjejakkan kaki di situ. Memang kehidupan dikampus itu sangat mengujakan sesiapa sahaja. Tapi beringat-ingatlah kita sebelum membuat sesuatu tindakan. Gunakanlah akal kurniaan Tuhan untuk mengambil tindakan yang rasional. Bak kata pepatah, ikut hati mati, ikut rasa binasa...

Apa yang penting kita perlu bersedia dari sudut rohani dan jasmani sebelum kita melangkah ke gerbang mahasiwa agar segala tindak tanduk yang kita ambil tidak terkeluar dari batasnya. Carilah senior yang baik supaya dapat membimbing kita ke jalan yang benar. Lengkapkan diri kita dengan jati diri yang cemerlang untuk mencapai tahap idealisma yang gemilang. Gunakan sepenuhnya neuron di tubuh kita untuk bergerak selaras dengan pemikiran proaktif. Jangan disia-siakan masa remaja kita dengan terjerumus ke kancah penghinaan. Tambah lagi dengan pengaruh sekeliling kita yang dipenuhi oleh pusat-pusat hiburan. Jangan pula keluar mulut buaya masuk ke mulut harimau. Zaman sekarang ini macam-macam boleh jadi. Kawan jadi lawan, apatah lagi jadi gunting dalam lipatan. Jangan tersalah menilai peribadi seseorang hinggakan kita tertipu dengan sandiwaranya. Manis tutur bicara belum tentu lagi kesucian hatinya. Kadangkala ada udang disebalik batu. Susah juga untuk kita mengetahui niat seseorang itu. Apa yang penting pandai-pandailah membawa diri. itulah pesanan say apada sahabat-sahabat yang bakal bergelar siswi nanti. Jangan pula bila dah graduate berselisih dengan guru pun pandang sebelah mata je. Ingatlah dari mana kita bermula menapak. Jangan sudah tersungkur baru mahu sedar diri.

Riasan ini sekadar mengingatkan rakan termasuk diri saya sendiri. Bukan apa, hampir 20 tahun usia ini tapi masih juga belum sempurna akhlak. Sekejap baik sekejap tidak.. Lagi-lagi bila berada di kampus. Segala dugaan yang datang bukan senang untuk di atasi. semuanya memerlukan akal untuk bertindak di atas landasan yang betul. tersilap langkah boleh mengundang kegagalan yang berpanjangan. Cuma bersangka baiklah dengan Allah. Jika kita mengalami kegagalan tak semestinya kita akan gagal selamanya. Mungkin kegagalan tersebut memberi hikmah yang lebih baik. Yang penting usaha dan tawakal berserta doa yang tidak pernah putus pada Rab.. Kalau kita rasa diri kita masih lagi ditakok lama, ubahlah sikap yang ada. Cerminkan diri kita dengan peribadi mulia. Elakkan sejauh mungkin lembah yang boleh merosakkan akidah keimanan kita. Jangan sesekali kita mengubah apa yang Allah sudah ciptakan pada kita. Ramai golongan pada hari ini tidak mensyukuri penciptaan Allah. Malah mereka sesuka hati mengubah kecantikkan itu tanpa rasa gusar sedikit pun. Ada yang lebih menakutkan bila hilang sifat peribadinya. Dari wanita bertukar lelaki dan begitu juga sebaliknya. Fenomena ini seperti sudah lali malah tiada siapa yang mampu untuk hentikan. seakan-akan trend yang hebat walhal ianya adalah dosa besar. Nuzubillah... Moga-moga kita dikalangan insan yang terpilih. Rajin-rajinlah mengikuti ceramah agama kerana itulah makanan rohani yang perlu diisi. Jangan pula kita tinggalkan bacaan ayat suci Al-Quran kerana itulah pendinding yang berguna dalam menempa kehudupan duniawi. Belajar itu memanglah penting tapi jangan pula kita mengabaikan yang wajib. Ada juga sebilangannya yang datang dengan niat untuk belajar bagi mendapatkan kerja yang bagus. Usaha bagai nak gila tapi solat entah kemana. Kalau demikian macammana ilmu itu nak berkat. Dapat dekan pun tak guna kalau niat kita terpesong. Perkara yang paling utama kita sematkan dalam hati adalah niat ikhlas kerana Allah... Sesungguhnya setiap sesuatu itu dimulai dengan niat..


Renung-renungkan dan selamat beramal!!!

Monday, May 24, 2010

SENJA YANG TERAKHIR.....

Redup matahari pagi menyinarkan cahayanya. Dedaun pokok melambai-lambai ditiup angin dingin. Sedikit demi sedikit kabus hilang dibalik mentari yang muncul di ufuk bumi. Aku memandang sayu batu nisan yang terpacak kukuh di pusara. Air mata yang ditahan sejak aku mula melangkah ke sini tak mampu untuk dibendung lantas ianya mengalir laju di pipi..sederas rintihan hati yang tiada siapa mengerti. Selesai ku sedekahkan al Fatihah dan Yassin, aku mengorak langkah meninggalkan tanah perkuburan. Meninggalkan sisa-sisa tangisan yang masih bersedu di hujung perjalanan. Seiring dengan lagkah yang longlai nafasku terhela menanggung seribu kepayahan yang tak terungkap. Kuhirup angin pagi bagi meredakan kegusaran yang melanda jiwa. Mengutip semangat yang kian hilang dibawa arus kehidupan. Dari celah-celah dahan matahari kian meninggi.. bahangnya kian terasa menusuk ke kulit.

Mataku menatap potret lama yang tergantung kemas di dinding. Ada kerinduan yang bertandang, namun cukup sukar untuk ku buang. Entah berapa lama aku berangan pun aku tak tahu. Sedar-sedar pintu bilikku diketuk. Daun pintu dikuak dan tersembul Jaz dari depan bilik. Hem.. da tahu dah. Ni mesti nak ajak keluar makan. Dia tersenyum.. lantas berjalan ke arahku. "kenapa ni? Mesti ingat kat dia kan? Dah la tu.. dah lama pun berlalu. Tak payah dikenang, nanti jadi luka yang bernanah." berleter panjang Jaz disebelah ku."Dah, jom kita pergi makan." Jaz menarik lenganku. "Tak pelah Jaz, aku tak lapar lagi la. Aku ada kerja nak siapkan. Kau pergilah dulu. Bungkuskan aku sup ayam ye. Aku tak nak nasi." aku menolak ajakan Jaz. "Hem..ok lah kalau macam tu. Aku tak nak kacau kau lagi. " dia berlalu pergi meninggalkan kamar. Aku pun tak tahu kenapa perut yang tidak terisi sejak semalam masih terasa kenyang. Mungkin sudah sebu kerana masuk angin. Jam di dinding ku pandang sekilas. Sudah hampir pukul 12.30. Pantas aku menaip butir-butir maklumat yang perlu dihantar petang ini. Huh, letih juga.. Siapa suruh termenung, menghabiskan masa je. Aku merungut sendirian. Menyalahkan diri atas kecuaianku sendiri. Sesekali aku menoleh ke arah jam, sempat lagi ni. Aku meneruskan kerja yang terbelangkai. Selang beberapa minit, aku terdengar azan Zuhur berkumandang dari masjid. Segera aku meninggalkan meja untuk menunaikan kewajipanku pada Yang Esa. Usai solat aku meneruskan kembali kerjaku. Tepat jam 3 petang aku bergegas keluar untuk ke pejabat, menghantar kertas kerja yang akan disemak oleh bos ku. Nasib baik sempat siap, kalau tak habis aku..tak pasal pula kena marah petang ni. Fuh, selamat aku.. sempat lagi aku mengucapkan syukur.

Hari-hari yang berlalu terasa pilu sekali. Entah kenapa aku ada sesuatu yang hilang dari hidupku.. Ya, memang ada yang hilang. Sesuatu yang cukup bererti dalam hidup. Sejenak aku terkenangkan kisah lalu. Kenangan yang cukup indah untuk dikenang tapi perit untuk ditelan. Zaman yang aku rasa cukup tabah walaupun hidupku waktu itu dihimpit dengan pelbagai dugaan. Saban kali aku terjatuh, namun ada tangan-tangan yang menghulurkan bantuan supaya aku terus berdiri meneruskan perjuangan yang terhenti. Bila diingat kembali hidupku cukup sempurna dengan adanya teman-teman disisi. Walaupun dugaan datang melanda aku tidak keseorangan. Malahan aku rasa cukup tabah untuk melaluinya. Tapi kini hidupku terasa sunyi.. Seakan-akan aku hilang keyakinan untuk menggapai impian yang aku idamkan. Terasa sukar untuk ku lakukan. Ya Allah, dugaan apakah ini? Apakah yang harus aku lakukan? Aku dah tak terdaya untuk meneruskan semua ini.. Ya Tuhanku.. aku memohon petunjuk-Mu. Berilah aku kekuatan untuk menempuh dugaan ini. Inilah ujian terbesar untukku lalui. Berilah aku petunjuk jalan mana harus ku lalui...

Ombak laut beralun lembut mengikut irama arus yang mengalir. Menghempaskan dayanya pada si pantai yang menunggu di hujung teluk. Sesekali percikkan air terkena pada bajuku. Tenang dan damai rasanya menghayati keindahan alam semulajadi ciptaan Allah.. Subhanallah, cantik sungguh ciptaanMu ini. Aku melabuhkan diri di tepi pohon rendang.. Nyaman rasanya terlindung dari sinaran matahari petang. Di sinilah aku menunggu, menghabiskan waktu petangku. Menenangkan fikiranku yang berserabut sambil menikmati kenangan yang tersisip abadi. Pertama kali aku di sini, dia yang membawaku. Mempertemukan aku dengan keindahan ini. Sudah hampir 5 tahun berlalu, kini aku sendiri di sini. Mengutip serpihan cengkerang siput di pesisir pantai. Melakar perasaan di pasir pantai yang putih. Kadang-kadang aku rasa ianya tidak bermakna. Tapi hanya itu yang mampu ku buat untuk mencari kembali diriku yang sebenar. Sedar tak sedar dah terlalu lama aku pendamkan semuanya. Mungkin ada yang tersalah anggapan tentang perasaan aku. Tapi biarlah rahsia... Aku tak ingin sesiapapun tahu isi hati ni. Biarlah ianya terkubur sepi di dasar hati. meskipun aku terpaksa menanggung keperitan yang menjalar di lubuk hati tapi biarlah... itu lebih baik dari merampas hidup orang lain. Segalanya cukup sempurna. Aku tahu tiada siapa yang tahu siapa sebenarnya 'dia' yang aku tunggu. Aku sendiri pun tak mengerti kenapa dia yang menarik hati. Entah kenapa dia yang terpilih memegang kunci yang tak mampu aku rungkaikan. Tapi sayangnya.. dia sendiri pun tidak tahu tentang hal ni. Aku tersenyum sendiri.. Memujuk hati yang kian sayu. Entah kali yang keberapa pun aku tak pasti aku menangis, tapi itulah yang terjadi bila aku disini. Tapi aku mengerti suratan takdir Ilahi. Bukan ku melawan ketentuan, tapi aku ingin mencari kepastian hidup ini. Ajal pertemuan ditangan Tuhan. Aku tahu sejak azali lagi Allah telah menentukan rezeki dan takdir hidup manusia. Andai dia yang tertulis di Loh Mahfuz untuk menyelesaikan kekeliruan ini, berilah aku petunjuk ke arahnya. Namun aku mengerti... tiada apa yang boleh ku lakukan. Hanya menunggu dan terus menunggu. Meskipun hatiku dirobek lagi, tapi aku tetap membisu. Melepaskan dia pergi seolah-olah membuka ruang untuk bersendiri. Aku memahami dia bukan yang ku kenal dahulu. Cuma ada satu pilihan... aku harus pergi dari sini. Pergi meninggalkan semua yang aku mulai. Aku harus kuat untuk membuangnya jauh dari hati. Walaupun aku tahu ianya takkan mungkin terjadi. Lantas aku tanamkan di dalam benak fikiran dan kalungan hati. Biarlah semuanya berakhir disini. Matahari di kaki langit kian tenggelam cahayanya. Sedikit demi sedikit menghilangkan dirinya dibalik awan petang yang berarak mendung. Aku memandang dengan penuh harapan. Moga ianya dapat meberikanku kepastian terhadap jawapan yang ku cari. Kini aku pasti... aku harus berani... aku mengorak langkah meninggalkan pesisir pantai. aku menoleh buat yang terakhir kalinya. Mungkin ini yang terakhir aku dapat jejakkan kaki disini. Aku berdoa agar angin laut yang berhembus lembut ini akan menyampaikan kata-kata ini padanya. Kata-kata yang tak mampu ku ungkap dibibir, hanya hati yang berbicara.

Kota Malaysia kian jauh ku tinggalkan. Tanpa pengetahuan temanku, aku pergi membawa diri ke suatu tempat yang aku rasa tenang untuk memulakan hidup baru. Maafkan aku kerana pergi tanpa memberitahu kalian. Bukan maksudku untuk menyakiti, tapi aku tak sanggup untuk melihat wajah-wajah itu menghantar pemergianku ini. Aku nekad, tiada apa lagi disini yang perlu aku langsaikan. Tugasku sudah selesai. Ada tugas baru yang perlu aku selesaikan. Walaupun amat pedih untuk diterima tapi apakan daya. Hanya ini sahaja pilihan yang ku ada. Mungkin tiada siapa yang mengerti semua yang berlaku. Hanya aku yang menanggungnya. Aku menatap pemberiannya yang ku bawa bersama. Cukuplah ia menjadi penemanku dikala duka. Aku tak ingin mengharapkan sesiapa. Hanya ada aku dan dia.... selamat tinggal semua. Maafkan aku atas segalanya. Aku tak tahu dari mana harus ku mulakan. Cinta ini tiada penyudahan dan ini yang aku terpaksa lakukan. Hanya pantai yang memberikan jawapan.... Mataku tertutup lemah.. Nafasku terasa sesak. Ada sesuatu yang menghalangnya dari terus bernafas. Ya Allah... ampunilah aku... damaikan dia disana. Airmata ini gugur lagi... buat yang terakhir kalinya. Sebelum kapal terbang yang ku naiki terhempas di Armsterdam... dan yang terakhir kalinya... aku mengingati senyumannya. Terakhir kalinya aku memegang erat pemberiannya... Maafkan aku..... aku tak mampu mengungkapkan kata-kata itu.....

Wednesday, May 19, 2010

Oh guru...

Selalunya bila sebut je 16 Mei semestinya tergambar difikiran masing-masing karektor seorang guru. Macam saya juga... terbayang cikgu yang garang masa zaman persekolahan dulu. selalu je kena leter..maklumlah masa tu nakal, ada je halnya. Sampaikan kecoh satu sekolah. Itulah kenangan paling manis kat sekolah. Selamat Hari Guru cikgu... terima kasih atas tunjuk ajar kalian. Kalau tak kerana leteran cikgu, tentu saya tak berjaya macam sekarang ni.

Mengimbau kembali zaman dibangku sekolah, setiap kali sambutan Hari Guru diadakan, mesti saya and the geng yang paling sibuk sekali. Rasa best sangat dapat buat preparation untuk cikgu-cikgu. Kadang-kadang kami terpaksa kerja overtime sampai lewat malam semata-mata nak memberikan hari yang cukup indah untuk guru-guru. Ada satu ketika tu sampai nak pitam rasanya sebab terlalu letih. Tapi puas hati sebab majlis tersebut berjalan dengan lancar walaupun banyak kekurangan. Selalunya sambutan seperti ni mesti ada jualan hadiah khas untuk diberikan pada guru. Tapi saya tahu, bukan semua orang beli untuk guru. Ada yang mengambil kesempatan untuk menyambut hari kekasih pula. Siap bagi coklet, tak cukup lagi dengan bunga ros. Zaman remaja la katakan, orang mula nak kenal cinta. Silap hari bulan ada pula yang buat adengan romantis.. hai... macam-macam. Tapi pada saya, kenangan zaman remaja paling menyeronakkan. Walaupun ada pahitnya, tapi mengajar erti ketabahan hidup dimasa akan datang. Hari Guru tahun ni macam mana pula? Tentu sambutannya lebih meriah. Kadang-kadang timbul juga rasa sedih sebab dah tak dapat lagi nak meraikan hari tersebut bersama cikgu-cikgu yang saya sayang. Tapi saya tak pernah sedikit pun melupakan mereka. Masih terngiang-ngiang kata-kata nasihat mereka. Setiap kali saya ada masalah pada mereka lah tempat saya mengadu. Mereka bagaikan bonda dan ayahanda saya. Sampaikan saya tak sanggup nak berpindah sekolah sebab tak nak berjauhan dengan mereka. Bila diingat balik rasa kelakar pun ada. Ramai yang kata saya anak emas, tapi saya tak rasa begitu. Prinsip hidup ni kita kena amanah dan bertanggungjawab baru semua orang respect kat kita. Lagi satu ikhlaskan hati kita bila buat sesuatu. Innamala'malubinniyah...itulah resepi kejayaan yang cikgu bagi pada saya.

Sejak masuk kelas sains tulen rasa keyakinan makin tercabar. Mana taknya, perempuan Melayu terakhir. Nasib baik naik Form 5 ada juga teman baru. Tapi memang mencabar bila kita terpaksa bersaing dengan pelajar Cina. Bukan calang-calang pandainya. Mula-mula rasa rendah diri juga. Tapi atas dorongan dan galakkan cikgu saya berjaya sesuaikan diri berada dalam kelas tu. Sebenarnya saya ambik kimia forensik ni sebab nak menyahut cabaran cikgu kimia. Sebab dulu saya tak pernah dapat A untuk subjek ni. Tapi berkat doa dari guru lah saya dapat mencapai apa yang saya nak hari ini. Terima kasih cikgu...

Hem.. Tup-tup hari ni ramai juga kenalan yang bakal bergelar guru. Tahniah buat mereka yang berjaya dalam karier ni. Nampak je jadi cikgu ni senang, tapi sebenarnya amat mencabar. Kena ada persediaan mental dan fizikal. Bukan je pemain bola sepak yang perlukan latihan malah nak jadi seorang cikgu pun kena ada persediaan yang rapi. Dulu zaman kanak-kanak ada juga menyimpan hasrat nak jadi cikgu. Tapi tak ada rezeki sebab tak ada sifat seorang guru pun. Nak jadi pendidik yang berjaya kenalah pandai mendidik. Makanya kenalah pandai mengajar dan diajar. Jangan pula jadi kurang ajar.. Sekarang dah tak ramai yang nak jadi cikgu. Tapi pelik juga sebab walaupun ada kekosongan staf tapi masih lagi ada yang menunggu. Mungkin bidang yang dikehendaki tak selaras dengan bilangan guru yang ramai. Yelah, zaman teknologi ni bidang sains dan teknologi yang paling diberi keutamaan. Selaras dengan wawasan 2020 nanti. Apapun diharap rezeki mereka sentiasa ada. Kita hanya mampu merancang tapi Allah yang menetukan.

Jangan kita memandang sebelah mata pada guru yang mendidik kita. Tanpa mereka takkan lahirnya cendikiawan terulung. Kalau tiada mereka takkan muncul saintis dan arkeologi apatah lagi seorang menteri. Hargailah pengorbanan mereka ini. Setiap ilmu yang mereka curahkan takkan mampu untuk dibalas walaupun dengan jutaan ringgit. Buat guru-guru di SK Seri Utama, SMK Seri Bedena, pensyarah saya di Kolej MARA Kulim dan UiTM... terima kasih atas tunjuk ajar kalian. Semoga Hari Guru ini memberi inspirasi pada kalian untuk terus berjuang dalam mencorak warna kehidupan anak didikmu.. akhir kalam saya simpulkan pantun kasih buat sang guru..


Puyu sembilang bermain riang,

jauh kemudi menuju terusan,


guru cemerlang pelajar gemilang,


aspirasi diri penggerak wawasan.




Pohon cendana bersirat dahan,

gugur daunnya dihembus bayu,


takkan sirna ilmu pengetahuan,


jika guru berdedikasi selalu.




Riang puteri mengejar si dayang,

galak bermain di taman larangan,


guru mendidik pelajar cemerlang,


akhlak terpuji pewaris kegemilangan.




Semerbak harum buah berangan,

harum lagi melati di hulu,


kasihmu guru tiada tandingan,


moga Allah rahmati selalu.






nukilan kasih dari anak didikmu _ Wardah Arisya_


Tuesday, May 18, 2010

Kasih Ibu..

Lafaz Yang Tersimpan



Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya

Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar
tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia

Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu

Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar
tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia

Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata

Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan



Bersempena dengan sambutan Hari Ibu yang lalu memberikan Wardah idea untuk menukilkan sedikit kata-kata. Lagipun dah lama benar rasanya tak melewati laman blog ni. Maklumlah, sibuk dengan kerjaya sebagai pelajar, tambahan lagi exame hari tu. Letih juga study ni… tapi itulah realiti kehidupan.. Berkata tentang hari Ibu, tentu insan-insan di luar sana turut meraikannya. Hari yang cukup bermakna buat seorang wanita bergelar ibu. Sedangkan hari kekasih orang sanggup bersusah payah untuk meraikannya takkan hari ibu ni hanya disambut hambar. Bukankah dia yang paling penting dalam hidup kita? Tanpa ibu takkan lahirlah kita di dunia ni.Tapi ada juga yang sekadar memandang sepi hari tersebut.. sibuk dengan kerjalah katanya. Apalah sangat dengan kerja dan wang ringgit kalau nak dibandingkan dengan kasih ibu pada kita. Bukan lama pun, kalau sibuk sangat takkan tak boleh nak call ataupun bagi kad ucapan pada mereka ni. Kadang-kadang timbul rasa kasihan pada warga emas yang tinggal di Rumah Kebajikan Masyarakat. Rata-ratanya masih mempunyai anak tetapi masing-masing sibuk dengan kerjaya sehinggakan lupa pada tanggungjawab yang sepatutnya mereka pikul. Jangankan nak meraikan mereka, nak menjenguk sekali sekala pun payah. Pening juga bila memikirkan sebab munasababnya. Minta-minta kita bukanlah tergolong dalam kelompok itu…



Sejak dari kecil lagi kita mengenalinya. Dia yang menjaga kita saban hari tidak kira siang atau malam tanpa menghiraukan penat lelah. Walaupun tenaganya tidaklah sekuat mana tapi demi anak tercinta dia sanggup berkorban apa jua agar anaknya terjaga rapi. Jangankan semut, nyamuk seekor pun takkan dibiarkan mengganggu si anak kecil. Si anak dijaga bagaikan permaisuri. Apa yang si anak nak, dia beri. Walau mahal sekalipun si ibu sanggup bersusah payah mencari wang agar si anak gembira. Di bekerja siang dan malam demi masa depan anaknya. Tapi bila si anak dewasa, si ibu dipandang sebelah mata. Apatah lagi bila ditaburi dengan kekayaan, si ibu yang hidup dikampung dipandang hina. Kalau zaman dahulu ada si tanggang, kini dizaman moden juga tidak kurang hebatnya dengan kisah anak derhaka. Muncul si Tanggang ini bukan seorang dua bahkan beribu… ada yang lagi hebat sehinggakan sanggup membunuh ibu sendiri. Sungguh malang nasibmu ibu.. Orang kata zaman globalisasi manusia semakin maju… tapi apa yang kita lihat bukan begitu malahan sebaliknya. Manusia kian hilang pedoman. Zaman jahiliah nampaknya sudah bermaharajalela. Apalah nak jadi…..



Kembali pada diskusi, adakah anak-anak zaman sekarang menghormati ibu bapanya? Salah siapa si anak menjadi derhaka. Adakah salah didikan si ayah? Adakah si ibu kurang memberi perhatian? Ataupun memang si anak yang tidak menggunakan akal? Tepuk dada tanya jawabnya.. Berkisar tentang kehidupan masa kini, ibu bagaikan tiada erti hidupnya. Dimana-mana pun kita akan mendengar luahan hati si ibu yang ditinggalkan terumbang-ambing keseorangan. Mencalitkan sedikit kerisauan di hati Wardah…. Apalah nasib ibu lepas ni.. Mengenangkan Wardah juga punyai seorang ibu, pastilah kisah si Tanggang moden memberi impak yang cukup besar buat Wardah. Harapnya kalian di luar sana jangan mempersiakan ibu-ibu anda ataupun anda akan menyesal dikemudian hari. Bukan apa, sekadar ingin mengingatkan yang alpa… Takkan seorang anak Adam itu mencium bau Syurga jika derhaka pada orang tuanya…. Berhati-hatilah kita apabila berhadapan dengan ibu bapa kita. Jangan sesekali disakiti hati mereka kelak hidup kita yang merana.



Buat ibu, terima kasih atas segala pengorbananmu membesarkan anak-anakmu. Kami takkan mempersiakan ibu hingga akhir waktumu. Terima kasih atas doa darimu sehinggakan kami mampu meraih kejayaan… Takkan ada insan yang mampu menjadi perwira sepertimu. Engkaulah satu yang menjadi kebanggaan kami anak-anakmu. Semoga Allah sentiasa merahmatimu seperti mana engkau membesarkan kami. Walaupun hidupmu dihurung kemiskinan tapi semangatmu cukup kental untuk menjadikan anak-anakmu meraih genggaman kejayaan. Syukran jazilan ya ummi..