JellyPages.com

Monday, May 24, 2010

SENJA YANG TERAKHIR.....

Redup matahari pagi menyinarkan cahayanya. Dedaun pokok melambai-lambai ditiup angin dingin. Sedikit demi sedikit kabus hilang dibalik mentari yang muncul di ufuk bumi. Aku memandang sayu batu nisan yang terpacak kukuh di pusara. Air mata yang ditahan sejak aku mula melangkah ke sini tak mampu untuk dibendung lantas ianya mengalir laju di pipi..sederas rintihan hati yang tiada siapa mengerti. Selesai ku sedekahkan al Fatihah dan Yassin, aku mengorak langkah meninggalkan tanah perkuburan. Meninggalkan sisa-sisa tangisan yang masih bersedu di hujung perjalanan. Seiring dengan lagkah yang longlai nafasku terhela menanggung seribu kepayahan yang tak terungkap. Kuhirup angin pagi bagi meredakan kegusaran yang melanda jiwa. Mengutip semangat yang kian hilang dibawa arus kehidupan. Dari celah-celah dahan matahari kian meninggi.. bahangnya kian terasa menusuk ke kulit.

Mataku menatap potret lama yang tergantung kemas di dinding. Ada kerinduan yang bertandang, namun cukup sukar untuk ku buang. Entah berapa lama aku berangan pun aku tak tahu. Sedar-sedar pintu bilikku diketuk. Daun pintu dikuak dan tersembul Jaz dari depan bilik. Hem.. da tahu dah. Ni mesti nak ajak keluar makan. Dia tersenyum.. lantas berjalan ke arahku. "kenapa ni? Mesti ingat kat dia kan? Dah la tu.. dah lama pun berlalu. Tak payah dikenang, nanti jadi luka yang bernanah." berleter panjang Jaz disebelah ku."Dah, jom kita pergi makan." Jaz menarik lenganku. "Tak pelah Jaz, aku tak lapar lagi la. Aku ada kerja nak siapkan. Kau pergilah dulu. Bungkuskan aku sup ayam ye. Aku tak nak nasi." aku menolak ajakan Jaz. "Hem..ok lah kalau macam tu. Aku tak nak kacau kau lagi. " dia berlalu pergi meninggalkan kamar. Aku pun tak tahu kenapa perut yang tidak terisi sejak semalam masih terasa kenyang. Mungkin sudah sebu kerana masuk angin. Jam di dinding ku pandang sekilas. Sudah hampir pukul 12.30. Pantas aku menaip butir-butir maklumat yang perlu dihantar petang ini. Huh, letih juga.. Siapa suruh termenung, menghabiskan masa je. Aku merungut sendirian. Menyalahkan diri atas kecuaianku sendiri. Sesekali aku menoleh ke arah jam, sempat lagi ni. Aku meneruskan kerja yang terbelangkai. Selang beberapa minit, aku terdengar azan Zuhur berkumandang dari masjid. Segera aku meninggalkan meja untuk menunaikan kewajipanku pada Yang Esa. Usai solat aku meneruskan kembali kerjaku. Tepat jam 3 petang aku bergegas keluar untuk ke pejabat, menghantar kertas kerja yang akan disemak oleh bos ku. Nasib baik sempat siap, kalau tak habis aku..tak pasal pula kena marah petang ni. Fuh, selamat aku.. sempat lagi aku mengucapkan syukur.

Hari-hari yang berlalu terasa pilu sekali. Entah kenapa aku ada sesuatu yang hilang dari hidupku.. Ya, memang ada yang hilang. Sesuatu yang cukup bererti dalam hidup. Sejenak aku terkenangkan kisah lalu. Kenangan yang cukup indah untuk dikenang tapi perit untuk ditelan. Zaman yang aku rasa cukup tabah walaupun hidupku waktu itu dihimpit dengan pelbagai dugaan. Saban kali aku terjatuh, namun ada tangan-tangan yang menghulurkan bantuan supaya aku terus berdiri meneruskan perjuangan yang terhenti. Bila diingat kembali hidupku cukup sempurna dengan adanya teman-teman disisi. Walaupun dugaan datang melanda aku tidak keseorangan. Malahan aku rasa cukup tabah untuk melaluinya. Tapi kini hidupku terasa sunyi.. Seakan-akan aku hilang keyakinan untuk menggapai impian yang aku idamkan. Terasa sukar untuk ku lakukan. Ya Allah, dugaan apakah ini? Apakah yang harus aku lakukan? Aku dah tak terdaya untuk meneruskan semua ini.. Ya Tuhanku.. aku memohon petunjuk-Mu. Berilah aku kekuatan untuk menempuh dugaan ini. Inilah ujian terbesar untukku lalui. Berilah aku petunjuk jalan mana harus ku lalui...

Ombak laut beralun lembut mengikut irama arus yang mengalir. Menghempaskan dayanya pada si pantai yang menunggu di hujung teluk. Sesekali percikkan air terkena pada bajuku. Tenang dan damai rasanya menghayati keindahan alam semulajadi ciptaan Allah.. Subhanallah, cantik sungguh ciptaanMu ini. Aku melabuhkan diri di tepi pohon rendang.. Nyaman rasanya terlindung dari sinaran matahari petang. Di sinilah aku menunggu, menghabiskan waktu petangku. Menenangkan fikiranku yang berserabut sambil menikmati kenangan yang tersisip abadi. Pertama kali aku di sini, dia yang membawaku. Mempertemukan aku dengan keindahan ini. Sudah hampir 5 tahun berlalu, kini aku sendiri di sini. Mengutip serpihan cengkerang siput di pesisir pantai. Melakar perasaan di pasir pantai yang putih. Kadang-kadang aku rasa ianya tidak bermakna. Tapi hanya itu yang mampu ku buat untuk mencari kembali diriku yang sebenar. Sedar tak sedar dah terlalu lama aku pendamkan semuanya. Mungkin ada yang tersalah anggapan tentang perasaan aku. Tapi biarlah rahsia... Aku tak ingin sesiapapun tahu isi hati ni. Biarlah ianya terkubur sepi di dasar hati. meskipun aku terpaksa menanggung keperitan yang menjalar di lubuk hati tapi biarlah... itu lebih baik dari merampas hidup orang lain. Segalanya cukup sempurna. Aku tahu tiada siapa yang tahu siapa sebenarnya 'dia' yang aku tunggu. Aku sendiri pun tak mengerti kenapa dia yang menarik hati. Entah kenapa dia yang terpilih memegang kunci yang tak mampu aku rungkaikan. Tapi sayangnya.. dia sendiri pun tidak tahu tentang hal ni. Aku tersenyum sendiri.. Memujuk hati yang kian sayu. Entah kali yang keberapa pun aku tak pasti aku menangis, tapi itulah yang terjadi bila aku disini. Tapi aku mengerti suratan takdir Ilahi. Bukan ku melawan ketentuan, tapi aku ingin mencari kepastian hidup ini. Ajal pertemuan ditangan Tuhan. Aku tahu sejak azali lagi Allah telah menentukan rezeki dan takdir hidup manusia. Andai dia yang tertulis di Loh Mahfuz untuk menyelesaikan kekeliruan ini, berilah aku petunjuk ke arahnya. Namun aku mengerti... tiada apa yang boleh ku lakukan. Hanya menunggu dan terus menunggu. Meskipun hatiku dirobek lagi, tapi aku tetap membisu. Melepaskan dia pergi seolah-olah membuka ruang untuk bersendiri. Aku memahami dia bukan yang ku kenal dahulu. Cuma ada satu pilihan... aku harus pergi dari sini. Pergi meninggalkan semua yang aku mulai. Aku harus kuat untuk membuangnya jauh dari hati. Walaupun aku tahu ianya takkan mungkin terjadi. Lantas aku tanamkan di dalam benak fikiran dan kalungan hati. Biarlah semuanya berakhir disini. Matahari di kaki langit kian tenggelam cahayanya. Sedikit demi sedikit menghilangkan dirinya dibalik awan petang yang berarak mendung. Aku memandang dengan penuh harapan. Moga ianya dapat meberikanku kepastian terhadap jawapan yang ku cari. Kini aku pasti... aku harus berani... aku mengorak langkah meninggalkan pesisir pantai. aku menoleh buat yang terakhir kalinya. Mungkin ini yang terakhir aku dapat jejakkan kaki disini. Aku berdoa agar angin laut yang berhembus lembut ini akan menyampaikan kata-kata ini padanya. Kata-kata yang tak mampu ku ungkap dibibir, hanya hati yang berbicara.

Kota Malaysia kian jauh ku tinggalkan. Tanpa pengetahuan temanku, aku pergi membawa diri ke suatu tempat yang aku rasa tenang untuk memulakan hidup baru. Maafkan aku kerana pergi tanpa memberitahu kalian. Bukan maksudku untuk menyakiti, tapi aku tak sanggup untuk melihat wajah-wajah itu menghantar pemergianku ini. Aku nekad, tiada apa lagi disini yang perlu aku langsaikan. Tugasku sudah selesai. Ada tugas baru yang perlu aku selesaikan. Walaupun amat pedih untuk diterima tapi apakan daya. Hanya ini sahaja pilihan yang ku ada. Mungkin tiada siapa yang mengerti semua yang berlaku. Hanya aku yang menanggungnya. Aku menatap pemberiannya yang ku bawa bersama. Cukuplah ia menjadi penemanku dikala duka. Aku tak ingin mengharapkan sesiapa. Hanya ada aku dan dia.... selamat tinggal semua. Maafkan aku atas segalanya. Aku tak tahu dari mana harus ku mulakan. Cinta ini tiada penyudahan dan ini yang aku terpaksa lakukan. Hanya pantai yang memberikan jawapan.... Mataku tertutup lemah.. Nafasku terasa sesak. Ada sesuatu yang menghalangnya dari terus bernafas. Ya Allah... ampunilah aku... damaikan dia disana. Airmata ini gugur lagi... buat yang terakhir kalinya. Sebelum kapal terbang yang ku naiki terhempas di Armsterdam... dan yang terakhir kalinya... aku mengingati senyumannya. Terakhir kalinya aku memegang erat pemberiannya... Maafkan aku..... aku tak mampu mengungkapkan kata-kata itu.....

Wednesday, May 19, 2010

Oh guru...

Selalunya bila sebut je 16 Mei semestinya tergambar difikiran masing-masing karektor seorang guru. Macam saya juga... terbayang cikgu yang garang masa zaman persekolahan dulu. selalu je kena leter..maklumlah masa tu nakal, ada je halnya. Sampaikan kecoh satu sekolah. Itulah kenangan paling manis kat sekolah. Selamat Hari Guru cikgu... terima kasih atas tunjuk ajar kalian. Kalau tak kerana leteran cikgu, tentu saya tak berjaya macam sekarang ni.

Mengimbau kembali zaman dibangku sekolah, setiap kali sambutan Hari Guru diadakan, mesti saya and the geng yang paling sibuk sekali. Rasa best sangat dapat buat preparation untuk cikgu-cikgu. Kadang-kadang kami terpaksa kerja overtime sampai lewat malam semata-mata nak memberikan hari yang cukup indah untuk guru-guru. Ada satu ketika tu sampai nak pitam rasanya sebab terlalu letih. Tapi puas hati sebab majlis tersebut berjalan dengan lancar walaupun banyak kekurangan. Selalunya sambutan seperti ni mesti ada jualan hadiah khas untuk diberikan pada guru. Tapi saya tahu, bukan semua orang beli untuk guru. Ada yang mengambil kesempatan untuk menyambut hari kekasih pula. Siap bagi coklet, tak cukup lagi dengan bunga ros. Zaman remaja la katakan, orang mula nak kenal cinta. Silap hari bulan ada pula yang buat adengan romantis.. hai... macam-macam. Tapi pada saya, kenangan zaman remaja paling menyeronakkan. Walaupun ada pahitnya, tapi mengajar erti ketabahan hidup dimasa akan datang. Hari Guru tahun ni macam mana pula? Tentu sambutannya lebih meriah. Kadang-kadang timbul juga rasa sedih sebab dah tak dapat lagi nak meraikan hari tersebut bersama cikgu-cikgu yang saya sayang. Tapi saya tak pernah sedikit pun melupakan mereka. Masih terngiang-ngiang kata-kata nasihat mereka. Setiap kali saya ada masalah pada mereka lah tempat saya mengadu. Mereka bagaikan bonda dan ayahanda saya. Sampaikan saya tak sanggup nak berpindah sekolah sebab tak nak berjauhan dengan mereka. Bila diingat balik rasa kelakar pun ada. Ramai yang kata saya anak emas, tapi saya tak rasa begitu. Prinsip hidup ni kita kena amanah dan bertanggungjawab baru semua orang respect kat kita. Lagi satu ikhlaskan hati kita bila buat sesuatu. Innamala'malubinniyah...itulah resepi kejayaan yang cikgu bagi pada saya.

Sejak masuk kelas sains tulen rasa keyakinan makin tercabar. Mana taknya, perempuan Melayu terakhir. Nasib baik naik Form 5 ada juga teman baru. Tapi memang mencabar bila kita terpaksa bersaing dengan pelajar Cina. Bukan calang-calang pandainya. Mula-mula rasa rendah diri juga. Tapi atas dorongan dan galakkan cikgu saya berjaya sesuaikan diri berada dalam kelas tu. Sebenarnya saya ambik kimia forensik ni sebab nak menyahut cabaran cikgu kimia. Sebab dulu saya tak pernah dapat A untuk subjek ni. Tapi berkat doa dari guru lah saya dapat mencapai apa yang saya nak hari ini. Terima kasih cikgu...

Hem.. Tup-tup hari ni ramai juga kenalan yang bakal bergelar guru. Tahniah buat mereka yang berjaya dalam karier ni. Nampak je jadi cikgu ni senang, tapi sebenarnya amat mencabar. Kena ada persediaan mental dan fizikal. Bukan je pemain bola sepak yang perlukan latihan malah nak jadi seorang cikgu pun kena ada persediaan yang rapi. Dulu zaman kanak-kanak ada juga menyimpan hasrat nak jadi cikgu. Tapi tak ada rezeki sebab tak ada sifat seorang guru pun. Nak jadi pendidik yang berjaya kenalah pandai mendidik. Makanya kenalah pandai mengajar dan diajar. Jangan pula jadi kurang ajar.. Sekarang dah tak ramai yang nak jadi cikgu. Tapi pelik juga sebab walaupun ada kekosongan staf tapi masih lagi ada yang menunggu. Mungkin bidang yang dikehendaki tak selaras dengan bilangan guru yang ramai. Yelah, zaman teknologi ni bidang sains dan teknologi yang paling diberi keutamaan. Selaras dengan wawasan 2020 nanti. Apapun diharap rezeki mereka sentiasa ada. Kita hanya mampu merancang tapi Allah yang menetukan.

Jangan kita memandang sebelah mata pada guru yang mendidik kita. Tanpa mereka takkan lahirnya cendikiawan terulung. Kalau tiada mereka takkan muncul saintis dan arkeologi apatah lagi seorang menteri. Hargailah pengorbanan mereka ini. Setiap ilmu yang mereka curahkan takkan mampu untuk dibalas walaupun dengan jutaan ringgit. Buat guru-guru di SK Seri Utama, SMK Seri Bedena, pensyarah saya di Kolej MARA Kulim dan UiTM... terima kasih atas tunjuk ajar kalian. Semoga Hari Guru ini memberi inspirasi pada kalian untuk terus berjuang dalam mencorak warna kehidupan anak didikmu.. akhir kalam saya simpulkan pantun kasih buat sang guru..


Puyu sembilang bermain riang,

jauh kemudi menuju terusan,


guru cemerlang pelajar gemilang,


aspirasi diri penggerak wawasan.




Pohon cendana bersirat dahan,

gugur daunnya dihembus bayu,


takkan sirna ilmu pengetahuan,


jika guru berdedikasi selalu.




Riang puteri mengejar si dayang,

galak bermain di taman larangan,


guru mendidik pelajar cemerlang,


akhlak terpuji pewaris kegemilangan.




Semerbak harum buah berangan,

harum lagi melati di hulu,


kasihmu guru tiada tandingan,


moga Allah rahmati selalu.






nukilan kasih dari anak didikmu _ Wardah Arisya_


Tuesday, May 18, 2010

Kasih Ibu..

Lafaz Yang Tersimpan



Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya

Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar
tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia

Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu

Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar
tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia

Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata

Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan



Bersempena dengan sambutan Hari Ibu yang lalu memberikan Wardah idea untuk menukilkan sedikit kata-kata. Lagipun dah lama benar rasanya tak melewati laman blog ni. Maklumlah, sibuk dengan kerjaya sebagai pelajar, tambahan lagi exame hari tu. Letih juga study ni… tapi itulah realiti kehidupan.. Berkata tentang hari Ibu, tentu insan-insan di luar sana turut meraikannya. Hari yang cukup bermakna buat seorang wanita bergelar ibu. Sedangkan hari kekasih orang sanggup bersusah payah untuk meraikannya takkan hari ibu ni hanya disambut hambar. Bukankah dia yang paling penting dalam hidup kita? Tanpa ibu takkan lahirlah kita di dunia ni.Tapi ada juga yang sekadar memandang sepi hari tersebut.. sibuk dengan kerjalah katanya. Apalah sangat dengan kerja dan wang ringgit kalau nak dibandingkan dengan kasih ibu pada kita. Bukan lama pun, kalau sibuk sangat takkan tak boleh nak call ataupun bagi kad ucapan pada mereka ni. Kadang-kadang timbul rasa kasihan pada warga emas yang tinggal di Rumah Kebajikan Masyarakat. Rata-ratanya masih mempunyai anak tetapi masing-masing sibuk dengan kerjaya sehinggakan lupa pada tanggungjawab yang sepatutnya mereka pikul. Jangankan nak meraikan mereka, nak menjenguk sekali sekala pun payah. Pening juga bila memikirkan sebab munasababnya. Minta-minta kita bukanlah tergolong dalam kelompok itu…



Sejak dari kecil lagi kita mengenalinya. Dia yang menjaga kita saban hari tidak kira siang atau malam tanpa menghiraukan penat lelah. Walaupun tenaganya tidaklah sekuat mana tapi demi anak tercinta dia sanggup berkorban apa jua agar anaknya terjaga rapi. Jangankan semut, nyamuk seekor pun takkan dibiarkan mengganggu si anak kecil. Si anak dijaga bagaikan permaisuri. Apa yang si anak nak, dia beri. Walau mahal sekalipun si ibu sanggup bersusah payah mencari wang agar si anak gembira. Di bekerja siang dan malam demi masa depan anaknya. Tapi bila si anak dewasa, si ibu dipandang sebelah mata. Apatah lagi bila ditaburi dengan kekayaan, si ibu yang hidup dikampung dipandang hina. Kalau zaman dahulu ada si tanggang, kini dizaman moden juga tidak kurang hebatnya dengan kisah anak derhaka. Muncul si Tanggang ini bukan seorang dua bahkan beribu… ada yang lagi hebat sehinggakan sanggup membunuh ibu sendiri. Sungguh malang nasibmu ibu.. Orang kata zaman globalisasi manusia semakin maju… tapi apa yang kita lihat bukan begitu malahan sebaliknya. Manusia kian hilang pedoman. Zaman jahiliah nampaknya sudah bermaharajalela. Apalah nak jadi…..



Kembali pada diskusi, adakah anak-anak zaman sekarang menghormati ibu bapanya? Salah siapa si anak menjadi derhaka. Adakah salah didikan si ayah? Adakah si ibu kurang memberi perhatian? Ataupun memang si anak yang tidak menggunakan akal? Tepuk dada tanya jawabnya.. Berkisar tentang kehidupan masa kini, ibu bagaikan tiada erti hidupnya. Dimana-mana pun kita akan mendengar luahan hati si ibu yang ditinggalkan terumbang-ambing keseorangan. Mencalitkan sedikit kerisauan di hati Wardah…. Apalah nasib ibu lepas ni.. Mengenangkan Wardah juga punyai seorang ibu, pastilah kisah si Tanggang moden memberi impak yang cukup besar buat Wardah. Harapnya kalian di luar sana jangan mempersiakan ibu-ibu anda ataupun anda akan menyesal dikemudian hari. Bukan apa, sekadar ingin mengingatkan yang alpa… Takkan seorang anak Adam itu mencium bau Syurga jika derhaka pada orang tuanya…. Berhati-hatilah kita apabila berhadapan dengan ibu bapa kita. Jangan sesekali disakiti hati mereka kelak hidup kita yang merana.



Buat ibu, terima kasih atas segala pengorbananmu membesarkan anak-anakmu. Kami takkan mempersiakan ibu hingga akhir waktumu. Terima kasih atas doa darimu sehinggakan kami mampu meraih kejayaan… Takkan ada insan yang mampu menjadi perwira sepertimu. Engkaulah satu yang menjadi kebanggaan kami anak-anakmu. Semoga Allah sentiasa merahmatimu seperti mana engkau membesarkan kami. Walaupun hidupmu dihurung kemiskinan tapi semangatmu cukup kental untuk menjadikan anak-anakmu meraih genggaman kejayaan. Syukran jazilan ya ummi..