JellyPages.com

Monday, May 24, 2010

SENJA YANG TERAKHIR.....

Redup matahari pagi menyinarkan cahayanya. Dedaun pokok melambai-lambai ditiup angin dingin. Sedikit demi sedikit kabus hilang dibalik mentari yang muncul di ufuk bumi. Aku memandang sayu batu nisan yang terpacak kukuh di pusara. Air mata yang ditahan sejak aku mula melangkah ke sini tak mampu untuk dibendung lantas ianya mengalir laju di pipi..sederas rintihan hati yang tiada siapa mengerti. Selesai ku sedekahkan al Fatihah dan Yassin, aku mengorak langkah meninggalkan tanah perkuburan. Meninggalkan sisa-sisa tangisan yang masih bersedu di hujung perjalanan. Seiring dengan lagkah yang longlai nafasku terhela menanggung seribu kepayahan yang tak terungkap. Kuhirup angin pagi bagi meredakan kegusaran yang melanda jiwa. Mengutip semangat yang kian hilang dibawa arus kehidupan. Dari celah-celah dahan matahari kian meninggi.. bahangnya kian terasa menusuk ke kulit.

Mataku menatap potret lama yang tergantung kemas di dinding. Ada kerinduan yang bertandang, namun cukup sukar untuk ku buang. Entah berapa lama aku berangan pun aku tak tahu. Sedar-sedar pintu bilikku diketuk. Daun pintu dikuak dan tersembul Jaz dari depan bilik. Hem.. da tahu dah. Ni mesti nak ajak keluar makan. Dia tersenyum.. lantas berjalan ke arahku. "kenapa ni? Mesti ingat kat dia kan? Dah la tu.. dah lama pun berlalu. Tak payah dikenang, nanti jadi luka yang bernanah." berleter panjang Jaz disebelah ku."Dah, jom kita pergi makan." Jaz menarik lenganku. "Tak pelah Jaz, aku tak lapar lagi la. Aku ada kerja nak siapkan. Kau pergilah dulu. Bungkuskan aku sup ayam ye. Aku tak nak nasi." aku menolak ajakan Jaz. "Hem..ok lah kalau macam tu. Aku tak nak kacau kau lagi. " dia berlalu pergi meninggalkan kamar. Aku pun tak tahu kenapa perut yang tidak terisi sejak semalam masih terasa kenyang. Mungkin sudah sebu kerana masuk angin. Jam di dinding ku pandang sekilas. Sudah hampir pukul 12.30. Pantas aku menaip butir-butir maklumat yang perlu dihantar petang ini. Huh, letih juga.. Siapa suruh termenung, menghabiskan masa je. Aku merungut sendirian. Menyalahkan diri atas kecuaianku sendiri. Sesekali aku menoleh ke arah jam, sempat lagi ni. Aku meneruskan kerja yang terbelangkai. Selang beberapa minit, aku terdengar azan Zuhur berkumandang dari masjid. Segera aku meninggalkan meja untuk menunaikan kewajipanku pada Yang Esa. Usai solat aku meneruskan kembali kerjaku. Tepat jam 3 petang aku bergegas keluar untuk ke pejabat, menghantar kertas kerja yang akan disemak oleh bos ku. Nasib baik sempat siap, kalau tak habis aku..tak pasal pula kena marah petang ni. Fuh, selamat aku.. sempat lagi aku mengucapkan syukur.

Hari-hari yang berlalu terasa pilu sekali. Entah kenapa aku ada sesuatu yang hilang dari hidupku.. Ya, memang ada yang hilang. Sesuatu yang cukup bererti dalam hidup. Sejenak aku terkenangkan kisah lalu. Kenangan yang cukup indah untuk dikenang tapi perit untuk ditelan. Zaman yang aku rasa cukup tabah walaupun hidupku waktu itu dihimpit dengan pelbagai dugaan. Saban kali aku terjatuh, namun ada tangan-tangan yang menghulurkan bantuan supaya aku terus berdiri meneruskan perjuangan yang terhenti. Bila diingat kembali hidupku cukup sempurna dengan adanya teman-teman disisi. Walaupun dugaan datang melanda aku tidak keseorangan. Malahan aku rasa cukup tabah untuk melaluinya. Tapi kini hidupku terasa sunyi.. Seakan-akan aku hilang keyakinan untuk menggapai impian yang aku idamkan. Terasa sukar untuk ku lakukan. Ya Allah, dugaan apakah ini? Apakah yang harus aku lakukan? Aku dah tak terdaya untuk meneruskan semua ini.. Ya Tuhanku.. aku memohon petunjuk-Mu. Berilah aku kekuatan untuk menempuh dugaan ini. Inilah ujian terbesar untukku lalui. Berilah aku petunjuk jalan mana harus ku lalui...

Ombak laut beralun lembut mengikut irama arus yang mengalir. Menghempaskan dayanya pada si pantai yang menunggu di hujung teluk. Sesekali percikkan air terkena pada bajuku. Tenang dan damai rasanya menghayati keindahan alam semulajadi ciptaan Allah.. Subhanallah, cantik sungguh ciptaanMu ini. Aku melabuhkan diri di tepi pohon rendang.. Nyaman rasanya terlindung dari sinaran matahari petang. Di sinilah aku menunggu, menghabiskan waktu petangku. Menenangkan fikiranku yang berserabut sambil menikmati kenangan yang tersisip abadi. Pertama kali aku di sini, dia yang membawaku. Mempertemukan aku dengan keindahan ini. Sudah hampir 5 tahun berlalu, kini aku sendiri di sini. Mengutip serpihan cengkerang siput di pesisir pantai. Melakar perasaan di pasir pantai yang putih. Kadang-kadang aku rasa ianya tidak bermakna. Tapi hanya itu yang mampu ku buat untuk mencari kembali diriku yang sebenar. Sedar tak sedar dah terlalu lama aku pendamkan semuanya. Mungkin ada yang tersalah anggapan tentang perasaan aku. Tapi biarlah rahsia... Aku tak ingin sesiapapun tahu isi hati ni. Biarlah ianya terkubur sepi di dasar hati. meskipun aku terpaksa menanggung keperitan yang menjalar di lubuk hati tapi biarlah... itu lebih baik dari merampas hidup orang lain. Segalanya cukup sempurna. Aku tahu tiada siapa yang tahu siapa sebenarnya 'dia' yang aku tunggu. Aku sendiri pun tak mengerti kenapa dia yang menarik hati. Entah kenapa dia yang terpilih memegang kunci yang tak mampu aku rungkaikan. Tapi sayangnya.. dia sendiri pun tidak tahu tentang hal ni. Aku tersenyum sendiri.. Memujuk hati yang kian sayu. Entah kali yang keberapa pun aku tak pasti aku menangis, tapi itulah yang terjadi bila aku disini. Tapi aku mengerti suratan takdir Ilahi. Bukan ku melawan ketentuan, tapi aku ingin mencari kepastian hidup ini. Ajal pertemuan ditangan Tuhan. Aku tahu sejak azali lagi Allah telah menentukan rezeki dan takdir hidup manusia. Andai dia yang tertulis di Loh Mahfuz untuk menyelesaikan kekeliruan ini, berilah aku petunjuk ke arahnya. Namun aku mengerti... tiada apa yang boleh ku lakukan. Hanya menunggu dan terus menunggu. Meskipun hatiku dirobek lagi, tapi aku tetap membisu. Melepaskan dia pergi seolah-olah membuka ruang untuk bersendiri. Aku memahami dia bukan yang ku kenal dahulu. Cuma ada satu pilihan... aku harus pergi dari sini. Pergi meninggalkan semua yang aku mulai. Aku harus kuat untuk membuangnya jauh dari hati. Walaupun aku tahu ianya takkan mungkin terjadi. Lantas aku tanamkan di dalam benak fikiran dan kalungan hati. Biarlah semuanya berakhir disini. Matahari di kaki langit kian tenggelam cahayanya. Sedikit demi sedikit menghilangkan dirinya dibalik awan petang yang berarak mendung. Aku memandang dengan penuh harapan. Moga ianya dapat meberikanku kepastian terhadap jawapan yang ku cari. Kini aku pasti... aku harus berani... aku mengorak langkah meninggalkan pesisir pantai. aku menoleh buat yang terakhir kalinya. Mungkin ini yang terakhir aku dapat jejakkan kaki disini. Aku berdoa agar angin laut yang berhembus lembut ini akan menyampaikan kata-kata ini padanya. Kata-kata yang tak mampu ku ungkap dibibir, hanya hati yang berbicara.

Kota Malaysia kian jauh ku tinggalkan. Tanpa pengetahuan temanku, aku pergi membawa diri ke suatu tempat yang aku rasa tenang untuk memulakan hidup baru. Maafkan aku kerana pergi tanpa memberitahu kalian. Bukan maksudku untuk menyakiti, tapi aku tak sanggup untuk melihat wajah-wajah itu menghantar pemergianku ini. Aku nekad, tiada apa lagi disini yang perlu aku langsaikan. Tugasku sudah selesai. Ada tugas baru yang perlu aku selesaikan. Walaupun amat pedih untuk diterima tapi apakan daya. Hanya ini sahaja pilihan yang ku ada. Mungkin tiada siapa yang mengerti semua yang berlaku. Hanya aku yang menanggungnya. Aku menatap pemberiannya yang ku bawa bersama. Cukuplah ia menjadi penemanku dikala duka. Aku tak ingin mengharapkan sesiapa. Hanya ada aku dan dia.... selamat tinggal semua. Maafkan aku atas segalanya. Aku tak tahu dari mana harus ku mulakan. Cinta ini tiada penyudahan dan ini yang aku terpaksa lakukan. Hanya pantai yang memberikan jawapan.... Mataku tertutup lemah.. Nafasku terasa sesak. Ada sesuatu yang menghalangnya dari terus bernafas. Ya Allah... ampunilah aku... damaikan dia disana. Airmata ini gugur lagi... buat yang terakhir kalinya. Sebelum kapal terbang yang ku naiki terhempas di Armsterdam... dan yang terakhir kalinya... aku mengingati senyumannya. Terakhir kalinya aku memegang erat pemberiannya... Maafkan aku..... aku tak mampu mengungkapkan kata-kata itu.....

No comments:

Post a Comment