JellyPages.com

Sunday, November 22, 2009

AL-QURAN SEBAGAI SAHABAT DALAM KEGELISAHAN

Seseorang yang beriman itu hendaklah mengetahui, bahawa kitab Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril, adalah merupakan roh hidayah dalam alam semesta ini dan yang telah merubah sejarah kemanusiaan, oleh kerana itu, antara orang yang beriman dan Al-Quran mesti ada hubungan yang kuat, dan tidak jemu untuk membaca dan memahami isi kandungannya. Sebab Al-Quran adalah merupakan tali yang menghubungkan antara Allah dengan hamba-Nya.

Al-Quran adalah kitab yang mulia, sebagai rahmat bagi alam semesta dan sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Hal ini terbukti sebagaimana firman Allah SWT:
“ Inilah kitab yang Kami turunkan kepada engkau, supaya engkau mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya yang terang, dengan izin Tuhan mereka menunjukkan kepada jalan Tuhan Yang Maha Kuasa dan Maha Terpuji. ”
(surah Ibrahim:1)

Di dalam Al-Quran telah dihimpunkan dasar-dasar kebaikan dan petunjuk untuk membangunkan kehidupan serta meletakkan asas ketenteraman di muka bumi ini:
“ Sesungguhnya Al-Quran ini memimpin kepada yang lebih benar.”
(Al-Isra’: 9)

Bagi seorang yang beriman, ia akan mengetahui bahawa Al-Quran mempunyai tugas kemanusiaan, baik untuk diri manusia secara peribadi mahupun untuk masyarakat umum, iaitu dengan mengarahkan manusia dengan cara yang sempurna. Disamping itu juga, Al-Quran adalah ubat yang hakiki bagi penyakit kegelidahan manusia. Al-Quran adalah jawapan yang benar bagi tuntutan manusia yang hakiki. Manusia tidak akan mengetahui hakikat kemanusiaanya dan tidak akan mengetahui jalan hidup yang lurus, kecuali dengan petunjuk Al-Quran:
“ Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu apa yang menjadi ubat dan rahmat untuk orang-orang yang beriman, dan tidaklah menambah bagi orang-orang yang zalim kecuali kerugian. ” (al-Isra: 82)

Al-Quran juga adalah merupakan undang-undang hukum Allah, yang menjelaskan tentang akidah seorang muslim, yang menegaskan tentang syariat Allah, serta mengarahkan manusia kepada peradapan yang tinggi. Justeru itu, membaca Al-Quran dan mengetahui akan maknanya adalah suatu kewajipan bagi setiap orang Islam, dengan jumlah yang tidak terbatas setiap selesai mengerjakan solat, sehingga seseorang itu tidak terputus hubungannya dengan sumber yang memberikan hidayah, serta tidak jauh dari sumber keimanan.
Rasulullah SAW bersabda :
“ Barangsiapa yang membaca Al-Quran dan menerangkannya, lalu ia menghalalkan yang dihalalkan Al-Quran dan ia mengharamkan yang diharamkan Al-Quran, tentulah Allah akan memasukkan ia ke dalam syurga dan Allah memberi syafaat sebanyak sepuluh orang dari keluarganya, yang sepatutnya mereka itu wajib mendapat siksa neraka.” (HR.Tarmizi)

Orang Islam itu hendaknya wajib mengetahui, bahawa imannya itu tidak akan kuat, rohnya tidak akan tenang, kecuali bila ia mempunyai Al-Quran mahu membacanya dan memahaminya. Pada saat itulah peribadi seorang Muslim akan betul-betul kuat keimanannya, dan akan kelihatanlah budi pekerti yang diajarkan oleh al-Quran itu baik dalam ucapan juga perbuatannya.
Rasulullah SAW bersabda:
“ Perumpamaan orang Mukmin yang membaca Al-Quran, bagaikan buah limau, harum baunya dan lazat buahnya.” (HR. Al. Khamsah)

Bagi orang yang membaca Al-Quran bukanlah hanya sekadar ibadah yang tidak ada buahnya atau pengaruhnya dalam kehidupan, akan tetapi Al-Quran dapat mengarahkan pembacanya dalam kehidupan, memberi gambaran tentang hakikat alam semesta, dan menerangkan cara berhubungan dengan sesama hamba Allah. Dengan demikian maka seseorang itu tidak akan hidup di atas dunia dengan mata tertutup dari petunjuk Allah, akan tetapi dia tidak mempengaruhi dan memperbaiki alam persekitarannya juga masyarakatnya.

Di sini pulalah bagi orang yang mempelajari Al-Quran itu akan mendapat hasil yang tidak ternilai harganya, sebab Al-Quran adalah ilmu yang mengarahkan kepada amal dan menunjukkan jalan yang paling lurus.

Oleh kerana itu, tidak pantaslah bagi seorang Muslim menjauhkan dirinya dari Al-Quran atau melupakannya. Al-Quran adalah sumber yang menghimpun seluruh hakikat Islam. Jika seorang Muslim memutuskan hubungannya dengan Al-Quran, maka akan keringlah sumber keimanan dalam dirinya dan hilanglah keindahannya.
Rasulullah SAW bersabda:
“ Sesungguhnya orang yang dipangkal lehernya tidak ada bekas bacaan Al-Quran, perumpamaannya adalah seperti sebuah rumah yang runtuh.”
( HR. Tarmizi)

“ Ditunjukkan kepadaku dosa-dosa umatku, maka aku tidak melihat dosa yang lebih besar daripada satu surah Al-Quran dan satu ayat daripadanya yang didatangkan kepada seseorang, kemudian ia melalaikannya."
(HR. Tarmizi& Abu Daud)

Alangkah agungnya Al-Quran dan patutlah bagi kita orang-orang Islam untuk memperhatikannya.

Bagaimanakah cara seorang Muslim membaca kitab Tuhan dengan sebenar-benarnya? Perlu diketahui, bahawa tujuan membaca Al-Quran adalah batin dengan nur Al-Quran dan harus disertai dengan perhatian yang sungguh-sungguh terhadap kandungannya, kerana yang demikian ini adalah merupakan ibadah yang memerlukan hati bersih dan akal yang sihat.

Membaca Al-Quran bukanlah hanya sekadar memperbanyakkan bacaan, tetapi hendaklah mengerti dan merenungkan terhadap sumber-sumber hidayah dari ayat-ayat tersebut. Justeru itu hendaklah di baca dengan hati yang khusyuk serta perhatian yang mendalam, sehingga seseorang itu dapat mengetahui betapa agungnya Al-Quran itu. Firman Allah:
“ Kalau Al-Quran Kami turunkan kepada sebuah gunung, sudah tentu engkau akan melihat gunung itu tunduk dan terpecah belah kerana takutnya kepada Allah. Itulah perumpamaan yang Kami buat untuk manusia, supaya mereka dapat memikirkan.”
(Al-Hasyr : 21)

Seorang Muslim itu tidak akan menjadikan Al-Quran sebagai nyanyian yang tiada erti, akan tetapi harus dapat membersihkanya dari perkara bermain –main. Kerana membacanya secara bermain-main adalah dosa besar, yang dapat merendahkan keagungan Al-Quran dan akan dapat menghalang nur Al-Quran untuk masuk ke dalam hati sanubari seseorang. Jika hati tidak dapat mengambil petunjuk dan hidayah dari Al-Quran, maka membacanya tidak akan mendapat manfaat yang besar.

Rasulullah SAW bersabda:
“ Bacalah Al-Quran supaya hatimu terpadu dengannya dan jika hatimu terpadu dengannya maka berdirilah daripadanya.” (HR. Bukhari & Muslim)

Bagi orang-orang yang beriman, mendengar bacaan al-Quran dapat menggetarkan hatinya serta bercucuran airmatanya sebagai bukti dalam hadis Rasuullah SAW:
“ Dari Abdullah r.a berkata, “Rasulullah SAW bersabda kepadaku, :Bacakanlah kepadaku,” aku berkata, “ Aku bacakan kepadamu dan kepadamu diturunkannya, hai Rasulullah?” Beliau bersabda, “ aku ingin mendengarkan dari orang lain.” Abdullah berkata: “Aku membacakan surah an-Nisa’ sampai ayat: “Bagaimanakah ketika kami datangkan kepada tiap umat seorang saksi dan engkau Kami jadikan saksi atas umat ini?” Beliau bersabda , “ Cukuplah”, maka aku melihat kedua matanya bercucuran air mata.”
(HR. Bukhari & Muslim)

Dari itu wahai wanita, janganlah biarkan masamu berlalu, sementara bacaan Al-Quran tidak pernah keluar dari bibirmu. Hiasilah rumahmu dengan bacaan Al-Quran sebab rumah yang tidak pernah didendangkan bacaan Al-Quran diumpamakan oleh Rasulullah seperti kuburan.

No comments:

Post a Comment